Friday, 5 September 2014

PENGENALAN






Assalammualaikum w.b.t & Selamat Datang ke...Blog BMM3053

BMM3053 merupakan mata pelajaran atau kursus wajib bagi guru pelatih PISMP semester 3. Mata pelajaran ini juga dikenali sebagai Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer. Bagi IPG Kampus Keningau kelas PISMP GSTT Bahasa Melayu Kumpulan 2 mata pelajaran ini adalah di bawah bimbingan pensyarah Encik Sahidani bin Abd. Dani. 

Pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer merupakan satu proses pengajaran yang kini menjadi suatu yang penting dalam mencapai objektif pengajaran. Antara aspek yang ditekankan dalam mata pelajaran ini antaranya ialah pengajaran dan penguasaan ilmu terutama dalam kemahiran komputer untuk mengakses maklumat melalui teknologi terkini. Selain itu, mata pelajaran ini turut menekankan aspek pencarian maklumat, pengolahan serta penyusunan bahan, perbincangan tentang aplikasi kemahiran komputer dalam mendapatkan maklumat. 

Dewasa ini, sistem pendidikan telah mengalami pelbagai transformasi sama ada dari aspek Kurikulum mahu pun Kokurikulum. Oleh itu, pengaplikasian pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu berbantukan komputer merupakan antara kaedah dan teknik terbaru yang banyak memberi peluang kepada guru dan pelajar mencuba sesuatu yang baharu bagi meningkatkan penguasaan dan pencapaian selaras dengan perkembangan budaya ilmu masa kini.